Saturday, October 03, 2009

Seri Paduka lancar enjin baru untuk Proton


NORWICH, United Kingdom 2 Okt. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan melancarkan Enjin Berprestasi Tinggi Proton (EBTP) yang dibangunkan di kilang syarikat pengeluar kereta sport dan lumba, Group Lotus Plc (Lotus) di Hethel di sini.

Projek pembangunan enjin yang mampu menghasilkan kuasa antara 30 hingga 40 peratus lebih tinggi daripada enjin Campro 1.6L bermula awal tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Pelancaran itu diadakan sempena lawatan baginda ke kilang berkenaan yang merupakan bekas pangkalan tentera udara Amerika Syarikat ketika Perang Dunia Kedua.

Turut berangkat melawat kilang yang terletak di bahagian timur negara ini di Wilayah Norfolk dengan jarak kira-kira 180 kilometer dari London ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Ketibaan baginda berdua kira-kira pukul 10.30 pagi (5.30 petang waktu Malaysia) dengan menaiki helikopter yang mendarat di litar ujian kereta syarikat itu disambut oleh Pengerusi Lotus yang juga Pengerusi Proton Holdings Berhad, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lotus yang baru, Dany Taner Bahar; Wakil Ratu England, Leftenan Diraja Norfolk Richard Jewson dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Abdul Aziz Mohammed.

Dalam ucapan alu-aluan menyambut keberangkatan Seri Paduka ke kilang syarikat berkenaan, Mohd. Nadzmi berkata, lawatan itu akan dapat merangsang semangat kakitangan Lotus untuk berusaha lebih keras dalam memperluaskan keluaran syarikat itu di peringkat global dan menjayakan visi Proton untuk menjadi syarikat automotif utama Asia.

‘‘Lotus sudah membuktikan keupayaannya dalam mengeluarkan beberapa model ikonik seperti Elite, Elan, Europa, Esprit, Elise dan terbaru, Evora, maka keputusan Proton mengambil alih syarikat itu pada tahun 1996 adalah langkah tepat.

‘‘Syarikat ini telah memberikan sumbangan yang banyak kepada pembangunan teknologi dan keupayaan kejuruteraan Proton.

‘‘Dan untuk masa depan kedua-dua syarikat sedang bekerjasama membangunkan kenderaan hibrid dan elektrik serta menghasilkan enjin yang lebih efisien,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika lawatan selama kira-kira tiga jam berkenaan, Tuanku Mizan telah berpeluang mendengar taklimat mengenai pelbagai model klasik yang dihasilkan oleh Lotus yang disampaikan oleh Clive Chapman.

Beliau merupakan anak mendiang Colin Bruce Chapman yang telah mengasaskan syarikat berkenaan pada 1948.

Baginda juga telah melawat dan melihat sendiri proses pemasangan kereta yang dilakukan sepenuhnya dengan menggunakan tangan.

Seri Paduka kemudiannya turut meluangkan masa selama 30 minit untuk memandu uji Lotus Evora, model terbaru syarikat berkenaan yang memenangi pelbagai anugerah, selain model berprestasi tinggi, Exige dan model kenderaan elektrik, Tesla. – UTUSAN

1 comment:

  1. Teringat kembali kenangan ketika membuat lawatan ke kilang tersebut pada dis 2007..apabila wakil Group Lotus mengatakan "it's ok, Malaysian time"..satu sindiran yang amat dalam disebabkan kami lewat tiba hampir sejam..
    Apapun suatu kebangggaan apabila melihat ramai wrga Norwich menggunakan kereta Proton..Gen-2.

    ReplyDelete