KUALA LUMPUR 12 Okt. - PLUS Expressways akan menawarkan diskaun tol sebanyak 20 peratus kepada pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) sempena perayaan Deepavali.
Pengarah Urusannya, Noorizah Abd. Hamid berkata, diskaun itu akan diberikan untuk enam hari sahaja di luar waktu puncak mulai pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi.
Beliau berkata, diskaun tersebut adalah tambahan kepada diskaun 10 peratus yang sedang dinikmati oleh pengguna di kedua-dua lebuh raya di luar waktu puncak setiap hari.
"Semua pengguna kenderaan kelas satu dapat menikmati diskaun itu pada 14, 15, 16, 19, 20 dan 21 Oktober ini di semua laluan PLUS dan Elite.
"Diskaun ini sebahagian daripada Program Insentif Perjalanan (PTI) PLUS untuk menghargai pengguna lebuh raya terutama pada musim perayaan," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Noorizah, pihaknya mengambil inisiatif memperkenalkan PTI bagi mengagihkan aliran trafik di luar waktu puncak, sekali gus membolehkan pelanggan menikmati perjalanan yang lebih selesa dan lancar.
Katanya lagi, ia juga memberi peluang kepada pengguna membuat pilihan dan menikmati nilai tambah dengan bayaran tol yang lebih rendah pada hari dan waktu yang ditetapkan.
"Sebagai contoh, bagi perjalanan kenderaan kelas satu dari Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Juru, Pulau Pinang, pengguna hanya perlu membayar tol sebanyak RM35 sekiranya keluar dari lebuh raya PLUS antara pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi berbanding RM43.30 yang dikenakan pada waktu biasa," katanya.
Noorizah turut menyarankan pengguna kedua-dua lebuh raya berkenaan supaya menggunakan kad 'PLUSMiles Touch 'n' Go' untuk melancarkan laluan di tol.
Katanya, pengguna kad tersebut mempunyai kelebihan kerana turut menikmati ganjaran seperti rebat tol, diskaun dan pelbagai keistimewaan lain oleh rakan 'PLUSMiles' yang mengambil bahagian.
Mengenai maklumat trafik terkini, beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 'PLUSLine' iaitu 1800 88 0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari.
"PLUS juga akan menghentikan sementara semua kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan kecuali membabitkan kes kecemasan antara 16 hingga 19 Oktober ini bagi memastikan perjalanan orang ramai selesa serta lancar," katanya.
sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm
No comments:
Post a Comment