Saturday, July 17, 2010

5-dalam-1: Harga petrol, diesel, gula dan gas naik

Harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini(16 Julai 2010).

Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini.


Tidak jelas berapa kenaikan harga RON 97. Tetapi difahamkan harganya naik 5 sen dan akan diselaraskan seterusnya kemudian.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram

Kenaikan harga barangan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pengumuman malam ini.

Menurut perdana menteri, penyelarasan semula harga barangan tersebut akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Ia merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat mulai esok.

Bagaimanapun, tambanya, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010.

Harga bahan api dan gula di Malaysia, tegas Najib, masih antara yang terendah di rantau ini.

Berikut adalah harga baru:

Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
Diesel - RM1.75 seliter.
Gula - RM1.70 sekilogram
Gas LPG - RM1.85 sekilogram
Berikut adalah harga baru gas:

Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)
Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)
Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)
Sementara itu, Berita Harian online memetik Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berkata, kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkn perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara.

Najib berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Kuala Kedah di Alor Star, petang ini.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, penjimatan perbelanjaan itu juga akan digunakan untuk pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat.

Beliau turut memberi jaminan pengurangan subsidi akan dibuat secara minimum supaya tidak membebankan rakyat.

Pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata, Malaysia akan muflis pada 2019 jika kerajaan tidak memotong subsidi dan bergantung kepada pinjaman.

Katanya, hutang Malaysia akan meningkat kepada 100 peratus daripada GDP pada 2019 d- daripada 54 peratus sekarang jika subsidi tidak dipotong.

Thursday, July 15, 2010

'Tak boleh tarik kereta yang lunas 75% pinjaman'

Institusi kewangan tidak dibenarkan untuk menarik kenderaan yang gagal membuat bayaran bulanan sekiranya penyewa telah melunaskan lebih 75 peratus daripada jumlah pinjaman sewa belinya apabila Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2010 diwartakan kelak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan pindaan syarat itu, institusi kewangan perlu mendapatkan perintah mahkamah sebelum boleh menarik kenderaan tersebut.

"Pemunya (institusi kewangan) hanya boleh melaksanakan proses pengambilan semula melalui perintah mahkamah jika penyewa (pemilik kenderaan) telah membayar lebih daripada 75 peratus daripada jumlah keseluruhan harga tunai barangan tersebut yang dinyatakan di dalam perjanjian sewa beli berasaskan bayaran ansuran bulanan mereka," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2010 berkata sebelum ini kerajaan hanya menetapkan syarat 'satu pertiga' ke atas pemunya (institusi kewangan) berhubung dengan pemilikan semula di bawah Akta Sewa Beli 1967.

Perundangan sekarang menjelaskan pengambilan semula barangan oleh pihak pemunya boleh dilaksanakan apabila penyewa gagal menjelaskan bayaran ansuran sebanyak dua kali dan notis bertulis telahpun diserahkan kepada pihak penyewa.

"Antara keperluan threshold (sewa beli) ini dipinda bagi mengelakkan pertambahan bebanan kes di mahkamah sekiranya threshold terdahulu dikekalkan," katanya.

Ismail Sabri berkata perubahan threshold itu juga dilihat akan membantu rakyat bagi mendapatkan pinjaman kenderan daripada industri perbankan dengan mudah memandangkan syarat terkini lebih munasabah dan praktikal.

Bagaimanapun beliau berkata pemunya boleh melaksanakan pengambilan semula barangan tanpa perintah mahkamah, jika penyewa membayar kurang 75 peratus daripada jumlah keseluruhan harga tunai barangan tersebut yang dinyatakan di dalam perjanjian sewa beli.

Mengenai isu penarik kereta, Ismail Sabri berkata rang undang-undang itu turut mencadangkan kaedah pemberian permit diperkenalkan bagi mengawal selia aktiviti pengambilan semula oleh penarik kenderaan.

Katanya bagi memastikan aktiviti pengambilan semula itu dibuat dengan beretika, kerajaan meningkatkan penalti daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali kepada denda tidak melebihi RM100,000 terhadap mana-mana syarikat yang didapati melanggar peraturan akta berkenaan.

Selain itu, denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan terhadap orang perseorangan yang melakukan kesalahan sama.

Ismail Sabri juga berkata rang undang-undang itu bertujuan mengatasi masalah dalam amalan membayar wang tempahan untuk kenderaan yang ditempah.

"Masalah timbul apabila terdapat segelintir pihak yang menggunakan kelemahan perundangan sedia ada dengan tidak mengembalikan semula 'booking fees' (wang pendahuluan) sekiranya terdapat pembatalan penempahan. Terdapat juga kes di mana ejen menipu orang ramai dengan menggelapkan kesemua 'booking fees' daripada pelanggan yang berurusan dengan mereka," katanya.

Selaras itu, pindaan akta berkenaan memperuntukkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak pengedar kenderaan untuk memulangkan semula bayaran tempahan sekiranya terdapat pembatalan dari mana-mana pihak selain menjadikan bayaran tempahan sebagai sebahagian daripada bayaran deposit.

Rang Undang-Undang itu kemudian diluluskan.

- Bernama