Thursday, October 08, 2009
Rapper bertukar Muslim
JIKA kita menyebut nama Amir Junaid Muhadith, mungkin ramai yang bertanya, siapa dia? Nama itu mungkin indah namun siapa yang miliki nama itu, tiada siapa yang tahu.
Tetapi berbeza jawapannya jika kita menyebut nama Loon atau Rapper Loon. Seluruh dunia terutama kalangan peminat muzik dan remaja tidak sahaja mengenali Loon, malah begitu memuja-muja beliau.
Manakan tidak, Loon merupakan anggota kumpulan muzik terkenal Bad Boy dan yang penting beliau merupakan anak didik rapper terkenal dunia, Puff Daddy.
Sedangkan hakikat yang mereka perlu tahu kini, nama Amir Junaid Muhadith dan Rapper Loon itu adalah individu yang sama!
Pada Disember tahun lalu, dunia dikejutkan dengan berita Loon memeluk agama Islam!
Ramai yang tidak percaya seorang penyanyi rap terkemuka yang hidupnya begitu mengejar populariti, wang dan nama akhirnya boleh berubah.
Dua dunia yang dikatakan cukup berbeza, dunia hiburan barat kepada Islam? Hedonistik kepada holistik?
Sukar bagi mereka untuk mempercayai walaupun Loon telah menampakkan perbezaan yang cukup ketara dalam soal imej. Dia kini memilih untuk berjubah dan kopiah putih serta menyimpan jambang dan janggut!
Iaitu satu imej Islam yang sama sekali tidak boleh dikaitkan lagi dengan gaya seorang rapper.
Amir merupakan artis kulit hitam Afrika Amerika yang dikatakan begitu berjaya mencipta pelbagai kejayaan dan rekod. Terutama sebagai artis yang bernaung di bawah syarikat muzik terkenal milik penyanyi Rap terkemuka Puff Diddy (dahulunya Daddy), P. Diddy Bad Boy Records.
Loon atau nama asalnya Chauncey Lamont Hawkin yang lahir pada Jun 1975 dari keluarga Kristian dibesarkan dalam suasana kehidupan ghetto di Harlem New York.
Amir memulakan karier sebagai artis dengan menganggotai kumpulan Harlem World dan menghasilkan koleksi lagu-lagu Rap Mase. Dia turut mengembangkan bakat dalam bidang lakonan dengan membintangi dua buah filem arahan Damon Dash yang bertajuk State Property 2 dan Death Of a Dynasty.
Ketika bersama Syarikat Bad Boy itu beliau menghasilkan album single Loon yang begitu melonjakkan namanya dan menjadikan beliau berada di puncak persada kerjaya sebagai rapper untuk muzik-muzik genre R&B dan hip hop yang terkemuka di dunia muzik Barat.
Namun pada 2004, Amir keluar dari syarikat tersebut dengan menubuhkan syarikat bagi menghasilkan label album beliau sendiri, iaitu Boss Up Entertainment.
Beliau dikatakan tertarik memeluk Islam ketika mengadakan siri jelajah persembahan di Dubai. Pengalaman sepanjang berada di negara itu menyebabkan Amir akhirnya memeluk Islam secara rasmi.
Berasal dan dibesarkan dalam suasana kehidupan sesak kulit hitam di lorong-lorong gelap Harlem New York, Amir sebagaimana anak muda kulit hitam yang lain, terlibat dalam pelbagai aktiviti yang kurang sihat.
Namun mujur sahaja Amir tidak berakhir menjadi seorang yang ganas atau penjenayah yang dikehendaki. Ini kerana minat yang mendalam, beliau belajar dan menguasai lagu dan tarian rap di setiap lorong dan sudut jalanan.
Ini membolehkan Amir memilih untuk serius dalam dunia muzik rap sebagaimana yang kebanyakan dilalui oleh anak-anak muda kulit hitam yang lain.
Segala penat dan usaha gigih beliau dalam dunia hiburan rap itu akhirnya menjanjikan apa yang selama ini beliau idam-idamkan. Kemasyhuran, gemerlapan cahaya kejayaan dan peminat-peminat keliling pinggang.
Namun yang jelas beliau menikmati satu kehidupan yang bebas, bebas tanpa sebarang had dan batasan.
Kebebasan memakan diri
Boleh melakukan apa sahaja, bebas dalam pergaulan dan bebas menentukan hala tujunya sendiri. Yang terkadang akibatnya ada kebebasan yang memakan diri sendiri. Namun semua itu dilalui oleh Amir bagi menciptakan kebahagiaan dalam diri.
"Begitu saya menyedari walaupun pelbagai nikmat dunia ini saya kuasai dan rasai namun kedamaian dalam hati ini langsung tidak ada.
"Hati saya tidak pernah senang dan tenang. Sentiasa ada sahaja yang tidak kena, resah gelisah tidak menentu dan masih tercari-cari makna hidup yang sebenar dan apakah arah matlamat hidup ini sebenarnya," katanya.
Akhirnya kunjungan untuk mengadakan persembahan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu memberikan jawapan kepada yang dicari selama ini.
"Hidup semewah mana pun tetapi jika tidak berpandu dan berasaskan kepada agama dan ajaran tuhan, semua itu tidak memberikan makna.
"Namun saya secara peribadi, mempercayai kewujudan dan menyerahkan diri kepada Allah memberikan saya seribu satu ketenangan kerana Dia memberikan saya inspirasi, hidup seseorang manusia itu adalah kerana dan untuk-Nya yang bakal memberikan kehidupan yang lebih abadi dan sempurna di akhirat kelak," jelas Amir.
Walaupun dia pernah mempercayai sepenuhnya ajaran Kristian namun ruang akalnya tidak mampu menerima terutama dalam kepercayaan trinity iaitu Nabi Isa itu sebagai anak Tuhan.
"Jika agama itu mempercayai Nabi Isa itu sebagai anak Tuhan, bererti Tuhan itu berkahwin bagi membolehkan 'isteri Tuhan' melahirkan anak, iaitu Nabi Isa.
"Tetapi mengapa di kalangan paderi-paderi itu sendiri menolak institusi perkahwinan dengan mengharamkan diri mereka untuk berkahwin. Jadi apa hinanya institusi itu sedangkan tuhan itu sendiri berkahwin?," katanya.
Walaupun Islam itu sendiri dimomokkan dengan pelbagai gelaran dan panggilan yang jahat dan tidak benar malah beliau sendiri pernah menaruh prejudis terhadap agama itu sebelum ini. Amir akhirnya mengakui bahawa Islam itu tidak sahaja sempurna malah begitu indah.
"Ajarannya cukup cantik, begitu mencintai kedamaian dan kehidupan yang adil dan sama rata untuk dinikmati oleh setiap golongan di muka bumi.
"Warna kulit bukan tiket untuk berlakunya pemisahan dan diskriminasi terhadap bangsa serta ia sama sekali tidak sebagaimana yang sering diperkatakan terutama mengaitkan agama itu dengan peperangan, keganasan dan pembunuhan.
"Malah pengebom berani mati pun sebenarnya tidak ada dalam ajaran agama itu," katanya.
Dalam temuramah dengan televisyen Al Jazeera pada Julai lalu, Amir tanpa ragu-ragu menyatakan hasratnya untuk melupakan dunia hiburan yang selama ini dikuasai, muzik rap!
"Saya tahu keputusan ini seperti membunuh diri saya sendiri kerana muzik itu sudah menjadi sebahagian besar dalam hidup saya selama ini.
"Saya tidak mampu melakukan perkara lain selain menghiburkan peminat menerusi lagu dan tarian rap ini.
"Tetapi sejak melakukan ibadat umrah di Mekah baru-baru ini, tanpa ragu lagi saya mengambil keputusan mendalami Islam bagi membolehkan saya beralih tugas yang lebih murni iaitu pendakwah," katanya.
Tugas pendakwah yang tidak mustahil dengan menjadikan muzik sebagai strategi dan metod terhadap kumpulan sasaran beliau kelak.
Namun seperti yang disebutkan, pengislaman Amir benar-benar mengejutkan dunia. Walaupun ada yang menganggap perkara itu bukan sesuatu yang luar biasa bagi seorang yang berkulit hitam dari Amerika.
"Kerana kecewa dalam hidup, individu bangsa Afrika Amerika akan lari kepada Islam, begitulah caranya mereka meneruskan hidup," antara kata-kata yang sering dilemparkan kepada golongan kulit hitam di Barat.
Malah ada yang menuduh tindakan Amir itu semata-mata kerana popularitinya kian merosot dan dengan memeluk Islam akan melonjakkan kembali namanya ke persada hiburan dan terus di puja peminat.
Tidak kurang juga sebagai satu cara kepada Amir untuk mendapat kewangan atau wang ringgit dari kalangan kaum kerabat diraja Arab bagi membolehkan beliau terus hidup dalam kemewahan.
Amir juga dilemparkan dengan gelaran baru; 'Black Osama Bin Laden'? Namun semua itu tidak diendahkan oleh Amir.
sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment