KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu telah menutup semua pintu rundingan ke arah pembentukan kerajaan perpaduan dengan Umno.
Menurut beliau isu kerajaan perpaduan tidak timbul lagi kerana perkara tersebut hanya dibangkitkan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.
"Itu dah tutup buku, kerajaan perpaduan tak ada lagi. Perdana Menteri zaman itu pun dah berhenti...Tak timbul lagi, sekarang Perdana Menteri baru.
"Tak timbul lagi masa ini, berhenti dulu. Itu konsep yang kita timbulkan masa zaman (Tun) Abdullah," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Ditanya mengapa PAS menghentikan hasrat pembentukan kerajaan perpaduan dengan Umno, Abdul Hadi berkata: "Pemimpin yang ada sekarang kita belum tahu lagi apa sikapnya dan keadaan sudah berubah."
Malah Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang berkata, hingga kini PAS tidak lagi menerima sebarang tawaran rundingan dengan Umno.
"Tak ada tawaran dan BN (Barisan Nasional) pun sedang mengurus rumahtangganya. MCA belum selesai, MIC belum selesai.
"Macam mana kita nak naik rumah dia kalau rumah dia kelam kabut," katanya.
Berhubung soalan sama ada PAS sedia untuk membincangkan kembali mengenai kerajaan perpaduan dengan Umno, beliau berkata: "Masa depan kita tak tahu."
Diminta mengulas sama ada beliau menghadapi krisis dalaman dalam PAS berhubung idea pembentukan kerajaan perpaduan tersebut, beliau menafikan mengenai perkara itu.
"saya rasa tak ada krisis kepimpinan, yang berlaku ialah pandangan yang berbeza," katanya.
sumber : http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/10/27/mstar_berita/20091027153518&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment