Tuesday, November 15, 2011

Hidayah di Sebalik Cara Pengebumian Islam

"Awak tahu tak.. orang Cina yang mati kalau nak kebumikan mayat, mereka perlu sediakan lebih kurang RM20 ribu tau!" Seorang sahabat saya membuka perbualan ketika kami sedang berjalan ke arah liang lahad untuk mengebumikan seorang jenazah yang baru sahaja meninggal dunia di taman perumahan kami.

"Oh ye ke? Baru sekejap tadi saya berbual dengan seorang sahabat kita yang masuk ISLAM. Dulu dia Buddha. Katanya paling murah RM6 ribu nak kena sediakan," kata saya.

"Tu yang paling murah rasanya. Yang tu diorang bakar je kot," balas sahabat saya sambil kami berjalan seiringan.

"Alhamdulillah, kos pengebumian kita takdelah mahal macam tu kan. Setahu saya lebih kurang RM850 sahaja kan. Itu dah masuk semua sekali, dengan van jenazah sekali. Murah kan..," saya menambah.

"Ya, murah je, dan Alhamdulillah, taman perumahan kita ni semuanya ditanggung oleh pihak surau. Keluarga waris tidak perlu bayar apa-apa..," sahabat saya yang merupakan AJK surau memberikan penjelasan tentang pengurusan jenazah di taman perumahan kami.

"Alhamdulillah. Itulah antara yang cantiknya ISLAM ni. Cara pengebumian orang ISLAM ni boleh jadi pintu hidayah kepada orang bukan ISLAM untuk masuk ISLAM. Mudah dan tak menyusahkan waris..," saya membalas sambil menyegerakan langkah kerana jenazah sudah mahu diangkat ke liang lahad. Tidak mahu ketinggalan untuk turut sama mengangkat jenazah.

Sedang talkin dibacakan oleh Imam di perkuburan, saya merenung kembali kata-kata saya kepada sahabat saya tadi. Sungguh, memang cara pengebumian umat ISLAM boleh menjadi jalan hidayah kepada orang yang bukan ISLAM untuk tertarik dengan ISLAM. Cara pengebumiannya ringkas dan sederhana sifatnya. Kos pengurusannya tidaklah membebankan pihak waris.

Saya teringat akan dua kisah yang pernah saya dengar suatu ketika dahulu tentang bagaimana dua orang Kristian yang masuk ISLAM disebabkan oleh tertarik dengan cara pengebumian orang ISLAM yang cukup sederhana dan ringkas sifatnya.

Kisah pertama berlaku kepada seorang paderi Kristian dari Itali. Beliau telah menyatakan hasrat untuk memeluk ISLAM setelah menonton dengan teliti cara pengebumian Raja Fahd bin Abdul Aziz, iaitu Raja Arab Saudi ketika itu. Cara pengebumian yang sangat sederhana itu telah ditayangkan ke seluruh dunia dan dapat disaksikan oleh ramai orang.

Seingat saya, faktor utama yang membuka pintu hidayah si paderi itu ialah bagaimana ISLAM bertindak tidak membeza-bezakan antara jenazah si pembesar dengan jenazah orang biasa. Jenazah Raja Fahd disolatkan bersama-sama dengan jenazah yang lain tanpa upacara yang istimewa khas untuk jenazah Raja Fahd.

Malah kain kapan dan kotak keranda serta keseluruhan proses pengebumian sama sahaja tanpa dibezakan darjat raja atau orang biasa. Walaupun sudah bertahun-tahun beliau diajak masuk ISLAM dan tetap berdegil, namun dengan melihat cara pengebumian yang cukup sederhana ini telah membuatkan beliau pasrah dengan keindahan ISLAM, seterusnya masuk ISLAM.

Kisah kedua berlaku kepada seorang nenek di USA. Cucu beliau telah pun masuk ISLAM dan menjadi salah seorang yang giat berdakwah di tempat mereka. Puas si cucu ini memujuk si nenek tersebut untuk masuk ISLAM, tetapi tidak berjaya dipujuknya.

Pada suatu hari telah berlaku kematian di kalangan orang ISLAM di tempat mereka. Mungkin orang ISLAM yang meninggal dunia itu adalah terdiri daripada keluarga terdekat atau jiran mereka, maka si nenek pun hadir sama ke upacara pengebumian si Muslim yang meninggal dunia itu.

Selepas upacara pengebumian tersebut, si nenek itu telah berkata kepada si cucu tadi, "Kalau aku mati nanti, aku mahu kamu kebumikan aku macam itu juga."

Beliau merujuk kepada cara pengebumian si Muslim tersebut. Dengan hidayah dan taufiq daripada ALLAH, maka si nenek itu pun masuk ISLAM. Beliau masuk ISLAM lantaran tertarik dengan cara pengebumian ISLAM yang sederhana dan menginsafkan.

Selang beberapa tahun kemudian, si nenek itu pun meninggal dunia. Beliau dikebumikan dengan cara yang beliau mahu iaitu meninggal dunia sebagai Muslim dan dikebumikan dengan cara pengebumian Muslim.

Kisah ini telah disampaikan oleh cucu beliau yang merupakan seorang pendakwah ISLAM yang aktif berdakwah di USA.

Itulah dua kisah yang mungkin dapat kita pelajari dan ambil iktibar. Betapa kesederhanaan dan mudahnya ISLAM ini bisa menambat hati manusia.

Justeru, amalkanlah ISLAM mengikut contoh yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam. Jangan menyusah-nyusahkan dengan upacara tambahan dan rekaan. Sungguh, pada kesederhanaanlah ISLAM ini dilihat cantik.

-Artikel iluvislam.com

http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/3579-hidayah-di-sebalik-cara-pengebumian-islam.html