Thursday, October 20, 2011

Lesen ikut tarikh lahir

KUALA LUMPUR: Mulai pertengahan bulan depan, pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) akan dibuat mengikut tarikh lahir pemegang lesen bagi memudahkan mereka mengingati tarikh memperbaharui lesen masing-masing, sekali gus menyaksikan tarikh tamat tempoh lesen sama dengan tarikh lahir.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata inisiatif yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bertujuan mengurangkan kes pemegang lesen tidak aktif dan rayuan untuk memperbaharui lesen memandu tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Selain itu, katanya, kaedah baru itu juga alternatif kepada sistem penyampaian notis peringatan dilaksanakan jabatan terbabit.
Pelaksanaan pembaharuan lesen memandu melalui penyelarasan tarikh tamat CDL mengikut tarikh lahir ini akan membabitkan agensi seperti JPJ, Jabatan Pendaftaran Negara, Pos Malaysia dan e-Khidmat, katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Bagi tarikh lahirnya pada 29 Februari, tarikh tamat sah lesen memandu dicadangkan pada 28 Februari dan tarikh pembaharuan pada 1 Mac.

Bagaimanapun, jika pemegang lesen tidak mahu menggunakan tarikh itu, mereka hendaklah memperbaharui lesen memandu bagi tempoh empat tahun berdasarkan tahun lompat yang berikutnya.

Sejajar penyelarasan tarikh tamat lesen memandu, bayaran juga akan diselaraskan melalui dua kaedah iaitu bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir antara 12 hingga 18 bulan termasuk tempoh lanjutan, kerajaan akan menanggung bayaran lesen bagi tempoh lanjutan itu.
Sebagai contoh, bagi tempoh sah lesen sedia ada iaitu 20 Februari 2011 hingga 19 Februari 2012 dan tarikh lahir pemegang lesen adalah 10 Oktober 1980, hanya bayaran RM30 dikenakan iaitu bagi tempoh 20 Februari 2012 hingga 19 Februari 2013.

Baki lanjutan selama lima bulan 20 hari (kurang daripada enam bulan) adalah percuma iaitu antara 20 Februari 2013 hingga 10 Oktober 2013.

Cho Ha berkata, bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir antara 19 hingga 24 bulan termasuk tempoh lanjutan, mereka perlu membayar untuk lanjutan tempoh melebihi enam bulan tetapi kurang daripada 12 bulan.

Kadar bayaran lesen memandu masih RM30 setahun, katanya.

Wednesday, October 19, 2011

Wanita pertama masuk syurga sebelum anak Rasulullah S.A.W

Siti Fatimah adalah anak Rasulullah yang mempunyai budi pekerti yang baik dan beliau amat taat kepada ajaran Islam dan sifat-sifatnya sama seperti bapanya yakni Nabi Muhammad S.A.W. Pada suatu hari ketika Rasulullah sedang bercerita tentang kenikmatan syurga kepada Siti Fatimah, maka baginda pun bersabda, “Aduhai anakandaku, ada seorang perempuan kebanyakan (orang biasa) yang akan masuk syurga lebih dahulu daripadamu”.

Mendengar sahaja kata-kata ayahandanya itu, maka berubahlah air mukanyaa lantas menangis dan berkata, “Siapakah perempuan itu wahai ayahanda? Macam mana halnya dan bagaimana pula amalannya sehingga dia dapat lebih dahulu masuk ke dalam syurga daripada anakanda? Ayahanda, khabarkanlah di mana dia sekarang”.

Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, “Dia adalah seorang wanita yang miskin, tinggal di Jabal Uhud, kira-kira 3 batu dari Madinah”. Tanpa membuang masa, Siti Fatimah pun keluar pergi mencari perempuan yang dikatakan masuk syurga terlebih dahulu daripadanya. Setelah dia sampai ke rumah perempuan itu, lalu dia mengetuk pintu sambil memberi salam.

Perempuan yang Rasulullah maksudkan itu membuka pintu dan bertanyakan hajat Siti Fatimah datang ke sana tanpa menjemputnya masuk ke dalam rumah. Siti Fatimah berkata, “Saya datang ke mari kerana hendak berjumpa dan berkenalan dengan awak”. Perempuan itu menjawab, “Terima kasih cik, tetapi saya tidak dapat membenarkan cik masuk kerana suami saya tidak ada di rumah. Nanti saya minta izin apabila dia balik nanti. Silalah datang pada esok hari”.

Dengan perasaan sedih dan dukacita Siti Fatimah pulang kerana tak dapat masuk dan bercakap panjang dengan perempuan itu. Esoknya dia kembali lagi ke rumah perempuan itu dengan membawa anaknya yang bernama Hasan. Apabila tiba di pintu rumah perempuan tersebut dan hendak dipersilakan masuk, tiba-tiba perempuan itu melihat ada budak bersama-sama Siti Fatimah, lalu dia berkata, “Ini siapa?”. Anakanda Rasulullah menjawab, “Ini anak saya, Hasan”. Perempuan itu lantas berkata, “Saya dukacita kerana saya belum meminta izin untuk anak ini masuk dari suami saya”.

Siti Fatimah jadi serba salah lalu dia pun balik kembali ke rumahnya. Esoknya Siti Fatimah datang lagi ke rumah perempuan itu tapi kali ini dia membawa kedua-dua anaknya iaitu Hasan dan Husin. Perempuan ahli syurga itu terkejut melihat ada seorang budak lagi yang belum diminta izin dari suaminya untuk masuk ke dalam rumah. Siti Fatimah tersipu malu lalu dia balik dengan perasaan hampa.

Dalam perjalanan pulang, hatinya berkata-kata, “Perempuan ini sangat takut kepada suaminya, sehingga perkara yang begini pun dia tak berani melakukannya. Pada hal jika dia membenarkan aku masuk, takkan suaminya marah? Tak usahlah pandang aku ini siapa dan dua budak ni cucu siapa, pandanglah kepada tetamu dan orang jauh sudahlah” bisik hatinya sambil menangis teresak-esak.

Sebaik sahaja suami kepada perempuan itu pulang, perempuan itu memberitahu perihal budak yang seorang lagi yang dibawa oleh Siti Fatimah. Sumainya yang terkejut dan hairan pun berkata, “Kenapa awak tahan sampai begitu sekali? Bukankah Siti Fatimah itu puteri Rasulullah S.A.W dan dua orang anaknya itu cucu baginda. Lebih daripada itu pun awak patut benarkan kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung pada keredhaan Rasulullah. Jangan awak buat seperti itu lagi, jika dia membawa sesiapa pun, terimalah mereka dengan baik dan hormatlah mereka semua”.

Isterinya menyahut, “Baiklah, tetapi maafkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan awak, suami saya. Oleh itu saya tak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hati awak”. “Terima Kasih” sahut suaminya.

Pada hari seterusnya, Siti Fatimah datang lagi dengan membawa dua orang puteranya. Setelah diterima masuk dan dijamu dengan buah kurma dan air, mereka pun memulakan perbualan. Dalam pada itu, perempuan itu berjalan ke arah muka pintu rumahnya sambil memandang ke arah jalan seolah-olah sedang menantikan kedatangan seseorang dengan tak berepa memperdulikan Siti Fatimah. Sambil itu Siti Fatimah melihat di tangan perempuan itu terdapat sebatang tongkat dan sebuah bekas berisi air manakala tangan yang sebelah lagi menangkat hujung kain sehingga menampakkan betis dan pehanya dan mukanya penuh dengan senyuman yang manis.

Melihat keadaan sebegitu rupa dengan perasaan resah kerana tidak diperdulikan lalu Siti Fatimah bertanya, “Mengapa jadi begini?” Perempuan itu menyahut, “Cik, harap maafkan saya kerana saya sedang menantikan kepulangan suami saya”. “Buat apa dengan bekas air itu?” tanya Siti Fatimah. Jawab perempuan itu, “Kiranya suami saya dahaga pada ketika dia balik, saya akan segera menghulurkan air ini kepadanya supaya tak terlambat. Jika terlambat nanti dia akan marah”.

Kemudian Siti Fatimah bertanya lagi, “Buat apa pula tongkat itu?” Perempuan itu menjawab, “Jika suami saya marah, mudahlah dia memukul saya dengan tongkat ini”. Siti Fatimah bertanya lagi, “Kenapa pula awak selak kain awak sehingga menampakkan aurat, bukankah itu haram?” Maka perempuan itu berkata, “Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini tentulah menambahkan syahwat dan nafsunya yang memudahkan kepada maksudnya”.

Selesai sahaja perempuan itu menjawab segala pertanyaannya, Siti Fatimah termenung dan hairan lalu dia berkata, “Jika begini kelakuan dan perangainya terhadap suaminya, tidak dapatlah aku mengikutnya. Patutlah dia masuk ke syurga dahulu daripada aku serta wanita-wanita lain. Ternyata benarlah bahawa keselamatan seorang perempuan yang bersuami itu bergantung pada ketaatan dan keredhaan suami terhadapnya”.

Sambil teresak-esak menangis dan menitis air matanya, Siti Fatimah meminta izin untuk pulang dan dia segera mengadap ayahandanya Rasulullah S.A.W lalu berkata, “Anakanda berasa sangat sedih dan lemah segala sendi kerana tak dapat meniru dan melakukan sebagaimana perangai dan amalan perempuan yang ayahanda maksudkan itu”.

Sebaik sahaja Rasulullah S.A.W mendengar rintihan puterinya lalu baginda bersabda sambil tersenyum, “Anakanda, janganlah susah hati, perempuan yang anakanda jumpa itu ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali ras kendali tunggangan anakanda tatkala masuk ke syurga. Jadi dialah yang masuk terlebih dahulu”. Setelah mendengar penjelasan itu, barulah Siti Fatimah tersenyum ketawa.

Friday, October 07, 2011

Mufti Perak nasihat pusat benarkan Kelantan laksana hudud

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) menasihatkan pentadbiran Najib agar membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan sebagai satu “percubaan” selepas kerajaan pusat terus dengan pendiriannya menyekat langkah sedemikian atas alasan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mufti Perak, Putrajaya perlu memberi peluang kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan Taun Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melaksanakan hudud memandangkan undang-undang jenayah syariah Islam itu sudah digubal pada 1993.

“Kerajaan pusat perlu beri peluang kepada Kelantan untuk laksanakan hudud, Nik Aziz juga kata sudah bersedia... saya setuju dan sokong, cuma dari segi prosedur pelaksanaan perlu lengkap, lagipun nanti kalau kerajaan pusat tak benarkan nanti orang marah.

“Benarkan Kelantan laksanakan hudud, hudud bukan perkara senang nak dilaksanakan kerana banyak perkara perlu dipatuhi... benarkan sebagai percubaan untuk kita yang lihat bagaimana ia dilaksanakan dan kadar jenayah di Kelantan selepas ia dilaksanakan kemudian baru kita nilai,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Harussani yang sebelum ini berusaha mewujudkan kerjasama politik antara PAS dan Umno, khususnya sejak selepas pilihan raya umum 2008 menegaskan, hukum hudud adalah tuntutan Islam dan ia perlu dilaksanakan sekiranya sudah bersedia.

“Kita nak kurangkan kadar jenayah, sekarang kalau kita lihat kalau merompak hukuman disebat dan dipenjara, jual dadah juga sama, tapi adakah mereka sudah insaf tapi kalau kudung tangan sudah pasti mereka akan berfikir dua kali... Islam laksana hudud, saya setuju,” katanya.

Beliau juga berkata, hukum hudud hanya dilaksanakan ke atas umat Islam dan orang bukan Islam tidak perlu risau sekiranya ia dilaksanakan.

“Bukan Islam tiada kena mengena dalam hukum agama Islam, ia tidak akan dikenakan kepada bukan Islam,” katanya.

Ditanya mengenai hukum hudud tiada dalam sistem perundangan negara, Harussani berkata “hal undang-undang saya tidak tahu, saya tak mahu cakap tapi saya setuju dilaksanakan hudud.”

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini menegaskan untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP.

Beliau turut meletakkan harapan hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13.

Selain itu Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS serius dalam melaksanakan undang-undang hudud dan mengakui orang bukan Islam termasuk DAP mempunyai hak untuk bersuara menyatakan pendirian masing-masing dalam perkara itu.

Pada 24 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud — penegasan kedua oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS pada 1994.

Najib berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.

Katanya, kerajaan kini telah pun mengambil kira prinsip “Maqasid Syariah” iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

Ekoran satu kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa hari sebelum respons Najib itu, Nik Aziz memohon Najib agar menarik balik surat 1994 dan membenarkan kerajaan negerinya melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama.