Thursday, October 01, 2009

Bonus interim TH 2.25 peratus

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Lembaga Tabung Haji (TH) akan membayar bonus interim sebanyak 2.25 peratus bagi setengah tahun pertama 2009 kepada 4.7 juta pendepositnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, pembayaran sebanyak RM465 juta itu akan dikreditkan ke dalam akaun pendeposit di seluruh negara pada 5 Oktober ini.

Katanya, pembayaran itu sekali gus mencerminkan kekukuhan kewangan TH.

"Pada 2007, TH pertama kalinya menjadi institusi yang membuat pembayaran bonus khas kepada pendepositnya sebanyak dua peratus di samping bonus tahunan sebanyak lima peratus.

"Pada petang ini pula saya ingin menyampaikan satu berita gembira kepada semua pendeposit TH bahawa buat julung kalinya TH akan membuat pembayaran bonus interim sebanyak 2.25 peratus untuk setengah tahun pertama 2009," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran logo baru TH di Ibu Pejabat TH di sini hari ini.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Pengerusi TH, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail serta Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mohamed Reda Abu Al-Hamayel.

Perdana Menteri juga menarik perhatian dengan menyatakan 30 September adalah tarikh bermakna iaitu TH mula ditubuhkan 46 tahun lalu dan telah membawa faedah serta manfaat besar kepada penduduk Islam Malaysia selain mewujudkan kumpulan wang yang membantu pembangunan negara.

"Penubuhan TH juga mempunyai nilai sentimental bagi saya dan keluarga kerana mesyuarat pertama Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji telah dipengerusikan oleh ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar ketika itu," katanya.

Najib juga berbangga dengan pencapaian TH yang telah mengorak langkah sejak penubuhannya dengan hanya 13 kakitangan perintis pada peringkat awal, kini telah berjaya muncul sebagai sebuah organisasi stabil dan kukuh dengan hampir 10,000 kakitangan di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, TH yang bermula dengan mengendalikan 5,000 jemaah haji pada 1963, kini telah berupaya mengelolakan kira-kira 26,000 jemaah setiap tahun secara cekap dan sistematik dan tersusun.

"Perkhidmatan terbaik yang diberikan TH telah diakui oleh negara-negara Islam lain sebagai antara yang terbaik di dunia. Perkara ini diakui sendiri oleh Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud semasa saya menghadap baginda baru-baru ini.

"Seperkara yang membanggakan kita, berasaskan dana RM152,000 sumbangan kerajaan di peringkat penubuhannya, hari ini jumlah deposit TH telah berkembang mencecah RM23 bilion," katanya.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

No comments:

Post a Comment