Saturday, September 12, 2009

Ops Sikap Ke-20 bermula 13 Sept 2009

MUAR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Ops Sikap Ke-20 2009, di Dataran Tanjung Emas, di sini, semalam.

Katanya, kempen yang dijalankan selama dua minggu mulai 13 September itu akan membabitkan kira-kira 2,000 penguat kuasa termasuk polis, bomba dan ambulans dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut.

Musa berkata, walaupun pihaknya menjalankan langkah penguatkuasaan termasuk memastikan kelancaran lalu lintas, terpulang kepada sikap pemandu sendiri supaya tidak gopoh gapah untuk mengelakkan daripada berlaku kemalangan dan kesesakan lalu lintas.

Katanya, PDRM akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang melanggar peraturan jalan raya bagi memastikan Ops Sikap Ke-20 berjalan lancar.

Selain itu, katanya, pihaknya juga akan menjalankan operasi bersepadu dengan agensi penguat kuasa lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau berharap Ops Sikap yang dilancarkan sempena hari raya tahun ini dapat mengurangkan jumlah kemalangan raya terutama membabitkan kematian.

"Kadang-kadang saya malu apabila rakyat Malaysia yang terkenal dengan budaya sopan santun boleh berubah menjadi orang berbeza apabila memegang stereng sehingga menyebabkan mereka sentiasa nak ke depan tanpa mengira orang lain.

"Sikap seperti ini perlu diperbetulkan supaya kita menghormati undang-undang dan pengguna jalan raya lain. Pihak penguat kuasa (polis) hanya sebagai pembimbing serta mendidik... yang perlu berubah ialah sikap pemandu itu sendiri," katanya.

sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20090912001250/Article/index_html

No comments:

Post a Comment