Wednesday, February 03, 2010

Shamsul Azhar Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Yang Baru


PUTRAJAYA: Bekas Pengarah Urusan MISC Berhad (MISC), Datuk Shamsul Azhar Abbas secara rasminya telah dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas yang baru berkuat kuasa Rabu depan menggantikan Tan Sri Mohd Hassan Merican yang tamat kontrak perkhidmatannya sehari sebelum itu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web Pejabat Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyebut, Shamsul Azhar, 57 telah turut dilantik memangku jawatan Pengerusi Lembaga Petronas.

"Kerajaan mengucapkan terima kasih atas sumbangan besar Tan Sri Mohd Hassan kepada negara dan industri petroleum, selaku Pemangku Presiden, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas sejak tahun 1995," kata Najib.

Mohd Hassan mula berkhidmat dengan syarikat minyak negara itu pada tahun 1989 sebagai Naib Presiden Kanan Kewangan sebelum dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 1995.

Beliau kemudiannya menyandang jawatan Pemangku Pengerusi pada tahun 2004 hingga sekarang.

Sementara Shamsul Azhar pula adalah bekas Pengarah Urusan MISC Berhad (MISC) yang merupakan syarikat perkapalan terkemuka yang dimiliki Petronas telah bersara daripada jawatan itu pada Januari baru-baru ini.

Beliau merupakan antara tiga nama yang disebut-sebut menggantikan Mohd Hassan selain Pengerusi Petronas Dagangan Bhd., Datuk Anuar Ahmad dan bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas Bhd., Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

"Semasa tempoh perkhidmatan Mohd Hassan, Petronas telah diiktiraf sebagai sebuah syarikat berprestasi tinggi yang mendapat penarafan sebagai satu-satunya syarikat Malaysia yang disenaraikan di dalam Fortune 500 oleh Majalah Fortune.

"Beliau juga telah berjaya membawa Petronas ke pasaran luar negara dan dapat bersaing dengan syarikat minyak gergasi yang lain," kata Najib lagi.

Dengan pengalaman yang luas ini, Perdana Menteri berharap Mohd. Hassan akan terus menyumbang pengetahuan dan pengalaman beliau kepada pembangunan negara terutamanya dalam bidang tenaga.

No comments:

Post a Comment