Tuesday, February 09, 2010

Beratus Premis Makanan Guna Sijil Halal Palsu - PPIM


KUALA LUMPUR: Beratus-ratus premis makanan di negara ini didakwa menyalahgunakan sijil halal dengan membeli sijil halal palsu pada harga antara RM800 dan RM1,000 setiap satu daripada dua syarikat yang dikatakan aktif mengeluarkan sijil halal palsu.

Ketika mendedahkan perkara itu hari ini, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata persatuan itu telah menerima banyak aduan tentang penyalahgunaan sijil halal yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di premis makanan termasuk di kafe gourmet, kopitiam dan makanan segera terkemuka.

Difahamkan lebih 160 premis makanan telah mendapatkan khidmat dua syarikat itu satu berpengkalan di Kuala Lumpur dan satu lagi di Petaling Jaya.

Memandangkan situasi itu dilihat berleluasa, beliau berkata tiga laporan polis telah dibuat oleh pengguna yang prihatin semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap syarikat yang mengeluarkan sijil halal palsu itu.

"Kami rasakan tidak beretika dan agak menipu kerana dengan hanya mengeluarkan satu kertas dan dibayar sebanyak RM800 atau RM1,000, sudah boleh dapat sijil halal" katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Nadzim berkata mereka yang melakukan kesalahan mengeluarkan sijil palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Beliau percaya terdapat beberapa lagi syarikat yang mengeluarkan sijil halal palsu tetapi masih tidak dapat dikesan.

Beliau berkata penyalahgunaan sijil halal itu jika tidak dibendung boleh menjejaskan kredibiliti Malaysia sebagai hub pengeluaran produk halal. -BERNAMA

sumber : http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/2/9/mstar_jenayah/20100209204004&sec=mstar_jenayah

No comments:

Post a Comment