Wednesday, February 03, 2010

Polis Guna Pendekatan Baru Sempena Musim Perayaan

PETALING JAYA: Jika sebelum ini polis membuat sekatan jalan raya bagi menahan kenderaan dan bas ekspres yang dipandu laju tetapi kini pengguna jalan raya sendiri akan menjadi mata kepada pihak polis dengan mencatat nombor pendaftaran kenderaan dan terus menghubungi polis.

Ketua Trafik Persekutuan, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, tindakan itu dibuat bagi memberi peluang kepada pengguna jalan raya menjadi mata kepada pihak polis kerana polis tidak akan melakukan sekatan jalan di musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini bagi mengelakkan kesesakan.

"Pengguna jalan raya yang mempunyai masalah terhadap pemandu lain termasuk pemandu bas ekspres yang memandu melebihi had kelajuan yang dibenarkan boleh terus menghubungi polis," katanya pada sidang media selepas majlis PLUS (Projek Lebuhraya Utara-Selatan) sempena sambutan Tahun Baru Cina di Bangunan Persada PLUS di Subang Jaya di sini, hari ini.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan trafik 24 jam di talian 03-22725497 atau 019-6000713 atau mana-mana balai polis trafik berhampiran.

Beliau berkata, selepas bilik gerakan trafik menerima laporan itu, saman akan dikeluarkan terhadap pemandu tersebut melalui pos.

Abdul Aziz juga meminta pengguna lebuh raya agar mematuhi peraturan perjalanan yang telah ditetapkan dengan merujuk jadual perjalanan yang dikeluarkan oleh PLUS iaitu Travel Time Advisory (TTA).

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Nik Airina Nik Jaafar berkata, TTA dikeluarkan bagi membantu perjalanan pengguna lebuh raya di samping mengurangkan kesesakan pada waktu puncak iaitu pada 12, 13, 16, 20 dan 21 Feb ini.

"Sejak penggunaan TTA ini pada 2007, kadar kesesakan di lebuh raya PLUS berkurangan dan perjalanan pengguna juga teratur," katanya.

Beliau berkata, pihak PLUS menjangkakan jumlah trafik di lebuh raya meningkat 30 peratus pada musim perayaan minggu depan berbanding sebanyak 1 juta kenderaan pada hari biasa.

Bagi memberi keselesan kepada pengguna lebuh raya dan mengelakkan kesesakan di plaza-plaza tol, pihak PLUS juga akan membuka sebanyak 1,000 lorong tol di 20 buah lokasi plaza tol di sepanjang lebuh raya itu.

Nik Airina berkata, selain itu pihak PLUS juga akan menambah tempat letak kereta kepada 50 peratus pada musim perayaan ini di 11 buah lokasi Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya itu bagi kemudahan pengguna. - BERNAMA

sumber : http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/2/3/mstar_berita/20100203164404&sec=mstar_berita

No comments:

Post a Comment