PETALING JAYA 22 Dis. – Mulai Mei tahun depan, kerajaan akan melaksanakan mekanisme baru subsidi petrol dan diesel yang menetapkan dua harga berbeza untuk rakyat dan bukan warganegara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, subsidi untuk warganegara juga akan diletakkan dalam beberapa kategori tertentu seperti berdasarkan kapasiti enjin kenderaan.
“Matlamat utama mekanisme baru ini bagi memastikan subsidi itu diterima oleh golongan sasar memandangkan pada masa ini semua lapisan rakyat termasuk yang kaya mendapat subsidi petrol atau diesel,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) dan menutup Majlis Bicara Eksekutif di sini hari ini.
Ismail Sabri memberitahu, Kementerian Kewangan akan mengumumkan secara terperinci mengenai subsidi tersebut.
Jelasnya, perkara-perkara terperinci mengenai mekanisme baru itu masih lagi dalam perbincangan dan semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi.
Sementara itu, kata beliau, kementeriannya akan membentangkan pindaan Akta Perdagangan Elektronik 2006 di Parlimen tahun depan, bagi memasukkan beberapa peraturan untuk melindungi pengguna.
Menurutnya, antara perkara yang akan dimasukkan dalam pindaan akta tersebut adalah mengenai hukuman ke atas mereka yang menipu dalam perdagangan elektronik atau lebih dikenali sebagai e-dagang.
“Akta Perdagangan Elektronik 2006 tidak mempunyai perkara-perkara yang melindungi pengguna terutama jika berlaku penipuan serta apa hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah.
“Pada masa ini kementerian terpaksa mengguna pakai Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk melindungi pengguna dalam e-dagang,” katanya.
Beliau menegaskan, pindaan itu kelak dapat melindungi pengguna dalam perkara-perkara meliputi prosedur, penalti dan hukuman kepada mereka yang menyalahgunakan transaksi e-dagang.
Tambahnya, untuk sementara waktu kementerian akan mewujudkan peraturan yang berkaitan dengan e-dagang bagi melindungi pengguna.
sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
No comments:
Post a Comment