Kerajaan Kelantan sedang mengkaji kemungkinan membatalkan perjanjian menyerahkan hak cari gali kepada Petronas jika royalti petroleum tidak diberikan, kata exco ekonomi dan kewangannya.
Mengulas kenyataan perdana menteri untuk menyerahkan wang ehsan kepada Kelantan, Datuk Husam Musa berkata isu membatalkan perjanjian itu akan dikaji oleh panel peguam yang dilantik kerajaan negeri.
Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini sebagai reaksi segera negeri itu terhadap pengumuman Datuk Seri Najib Razak pagi ini di Parlimen.
Dalam satu kenyataannya, Husam turut mempertikaikan penggunaan istilah "wang ehsan" sebagai bentuk bayaran kepada Kelantan, sedangkan "bayaran royalti" digunakan untuk bayaran di Terengganu, Sabah dan Sarawak.
"Nyata asas yang disebut oleh perdana menteri mengenai (kedudukan lokasi cari gali di luar pesisiran pantai sejauh) 3 batu nautikal adalah tidak berasas bagi kes-kes Sabah, Sarawak dan Terengganu," katanya lagi.
"Ia sengaja digunakan untuk mendiskriminasikan kerajaan dan rakyat Kelantan."
Sehubungan itu, kata Husam, kerajaan negeri mahu wang ehsan dibayar kepada kerajaan negeri dan sebuah badan penyelaras ditubuhkan yang turut dianggotai wakil kerajaan pusat untuk memantau penggunaan wang tersebut.
“Sekali lagi kami berharap perdana menteri berfikir semula dan mengambil kira tuntutan ini atas prinsip kesaksamaan, kedaulatan wilayah dan semangat federalisme yang utuh serta penghormatan perjanjian yang termaktub demi kesejahteraan dan keharmonian negara malaysia,” katanya.
Mengenai penubuhan panel guaman tersebut, Husam berkata, antara isu yang dicadang dipertimbangkan oleh panel guaman ini ialah:
1. Kemungkinan mengambil tindakan mahkamah membatalkan perjanjian penyerahan hak kepada PETRONAS untuk mencarigali dan mengeluarkan sumber petroleum dan lautan negeri Kelantan 1975 jika sekiranya tuntutan royalti minyak tidak dipatuhi.
2. Kemungkinan untuk kerajaan negeri mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di JDA (Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand) dan CAA (Kawasan Pengurusan Komersial Malaysia-Vietnam) yang melibatkan entiti dan syarikat antabangsa.
“Walau bagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan kemudian selepas pandangan dari panel guaman tersebut,” kata Husam.
Dalam kenyataan itu juga, beliau turut mempersoalkan mengapa 'wang ehsan' harus diurus oleh kerajaan pusat
“Pengumuman perdana menteri bahawa kelantan hanya layak menerima 'wang ehsan' dan bukannya royalti dan wang ini pula akan diuruskan oleh kerajaan pusat, adalah satu keputusan politik.
“Ia membelakangkan semangat federalisme, kedaultan undang-undang dan penghormatan terhadap perjanjian dan menekankan kepentingan politik semata-mata,” katanya.
Di samping itu, kata Husam, keberkesanan pengurusan oleh kerajaan pusat juga boleh dipertikaikan.
“Sebagai bukti, dengan jumlah royalti yang besar untuk Terengganu bagi tempoh 20 tahun lalu, masih gagal membanteras kadar kemiskinan yang kekal tinggi di Terengganu,” katanya.
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu, Husam berkata kerajaan negeri mengambil langkah proaktif itu untuk memastikan tuntutan wang royalti itu, berjaya.
"Kerajaan negeri tidak (dapat) menerima bayaran wang ihsan yang diumumkan hari ini bagi menggantikan bayaran wang royalti minyak kepada Kelantan," katanya dalam laporan Bernama.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri menganggap pemberian wang ehsan itu satu langkah pertama hasil inisiatif kerajaan negeri dalam tuntutan royalti minyak itu.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus mengadakan rundingan dengan kerajaan pusat berhubung tuntutan royalti itu.
Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada kerajaan pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik.
sumber : http://www.malaysiakini.com/news/116633
Satu langkah yang bijak (out of the box)..
ReplyDelete