Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantarkan surat kepada perdana menteri mengenai tuntutan bayaran royalti 5 peratus, yang berjumlah RM1 bilion, hasil petroleum dan gas cecair di perairan Kelantan.
Kerajaan negeri membuat tuntutan itu tahun ini setelah mengetahuinya melalui laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa petroleum itu telah beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti RM1 bilion itu dikira bermula dari 2004 sehingga kini.
Sementara itu, Najib memberitahu Dewan bahawa sama seperti Terengganu, pembayaran wang ehsan itu diberi setelah kerajaan pusat mengambil kira keperluan untuk membangunkan Kelantan serta meningkatkan kesejahteraan hidup penduduknya selaras dengan arus pembangunan negara.
"Bagi memastikan agihan wang ehsan itu dibuat dan dinikmati secara langsung oleh rakyat Kelantan, peruntukan tersebut akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan dan program membasmi kemisminan dan akan disalurkan terus oleh kerajaan (pusat) setelah berbincang dengan kerajaan negeri," katanya, lapor Bernama.
Najib berkata demikian bagi menjawab sekaligus soalan-soalan yang dibangkitkan oleh beberapa ahli parlimen dari Kelantan sebelum ini berhubung tuntutan royalti minyak bagi negeri itu.
Perdana Menteri berkata kerajaan persekutuan telah meneliti isu royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan secara mendalam termasuk dari sudut perundangan berkaitan kuasa kerajaan serta pengurusan hasil petroleum negara.
sumber : http://www.malaysiakini.com/news/116596
No comments:
Post a Comment