Thursday, November 05, 2009

Isytihar cuti, pakej umrah bukti kerajaan PAS serius bangunkan sukan

KOTA BHARU, 5 Nov: Dakwaan kononnya kerajaan PAS Kelantan tidak membangunkan bidang sukan kini semakin jelas tersasar apabila pelbagai tawaran disediakan kepada pasukan 'Red Warriors' setelah berjaya melangkah ke pertandingan akhir Piala Malaysia.

Tawaran mengerjakan umrah dan pengumuman cuti peristiwa pada Ahad ini secara jelas menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama memartabatkan sukan.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus berkata, buat pertama kalinya dalam sejarah Kelantan pengisytiharan cuti umum dibuat setelah mengambil kira kejayaan pasukan bola sepak di negeri ini.

"Pemberian cuti peristiwa dibuat setelah mengambil kira minat tinggi rakyat Kelantan dalam sukan bola sepak dan pencapaian pasukan 'Red Warriors'.

"Kerajaan mengambil kira aspek keselamatan penonton yang dijangka melebihi 50,000 orang hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Bukit Jalil Sabtu ini," ujar beliau di sini.

Pada perlawanan akhir tersebut Kelantan akan bertemu dengan Negeri Sembilan.

Kelantan buat pertama kali dalam sejarah melangkah ke pusingan akhir selepas membelasah Perlis dengan agregat 5-1 pada perlawanan separuh akhir.

"Kita sedar bolasepak ialah satu cara menyatukan seluruh penduduk tanpa mengira idealogi politik,"katanya.

Perlawanan separuh akhir pertama menentang Perlis di Stadium Sultan Muhammad ke-IV baru-baru ini turut mendapat sokongan padu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau juga menyampaikan cek kepada Persatuan Bolasepak Amatur Kelantan (Kafa) sebanyak RM5,000 sebagai insentif awal kepada pemain.

Biar pun kerjasama diberi kerajaan negeri, namun dalam banyak hal Kelantan diketepikan kerajaan pusat bagi membangunkan sukan di negeri ini.

Antaranya Menteri Besar tidak dilantik sebagai Pengerusi Majlis Sukan Negeri seperti di negeri-negeri lain.

Selain itu peruntukan bagi membaiki trek lumba lari di Stadium Sultan Mohammed Ke IV juga tidak mendapat kerjasama kerajaan pusat. _

sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=23111&Itemid=1

No comments:

Post a Comment