Wednesday, August 26, 2009

Royalti minyak: Perbincangan dua hala Kelantan dan pusat

PUTRAJAYA, 26 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan akan membuat perbincangan dua hala antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan berhubung dengan tuntutan royalti minyak Kelantan.

Perkara ini dinyatakan beliau dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara semalam yang turut dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan negeri.

Perkara ini dimaklumkan oleh Datuk Husam Musa kepada Harakahdaily ketika dihubungi hari ini.

Husam berkata, PM berjanji akan mengadakan mesyuarat dua hala ini selepas beberapa perkara teknikal mengenai tuntutan ini selesai dikaji.

"Saya berpuashati dengan jaminan PM ini dan menunggu hasilnya," kata Husam kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, semasa bercakap kepada media selepas melancarkan buku Tuan Guru Datuk Nik Nik Aziz di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Ahad lepas, Husam berkata, beliau akan membangkitkan isu tuntutan petroleum ini dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara.

(Husam menandatangani buku karangan Nik Aziz selepas melancarkan buku itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Ahad lepas)

Husam, Exco kerajaan negeri Kelantan, telah mewakili kerajaan negeri Kelantan dalam mesyuarat yang diadakan di sini semalam.

Sebelum ini, Nik Aziz telah menghantar surat kepada Perdana Menteri dan Petronas menuntut royalti minyak sebanyak RM1 bilion untuk kerajaan negeri Kelantan.

Ini berdasarkan carigali minyak yang dibuat oleh Petronas di perairan Kelantan.

Ekoran itu, bekas Pengerusi Petronas yang menandatangani perjanjian dengan kerajaan-kerajaan negeri termasuk Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah menyokong tuntutan itu.

Tuntutan ini juga disokong oleh Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga defacto Menteri Undang-undang.

Baru-baru ini, Husam telah menguruskan satu ekspedisi mengenalpasti kedudukan pelantar minyak itu. 60 peserta dari pelbagai pihak termasuk media menyertai ekspedisi ini.

Hasilnya, mereka mengesahkan pelantar ini berada di perairan Kelantan iaitu kira-kira 153 km dari pantai Kelantan.

Semasa melawat Kelantan baru-baru ini, Najib berkata, tuntutan Kelantan ini sedang dikaji. _

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=22266&Itemid=1

No comments:

Post a Comment