Tuesday, August 11, 2009

Petronas terbit bon, sukuk emas AS$4.5b

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) hari ini mengumumkan terbitan sulung bon dolar emas dan sukuk dolar emas, masing-masing bernilai AS$3 bilion (kira-kira RM10.5 bilion) dan AS$1.5 bilion (kira-kira RM5.25 bilion) yang dijangka berjaya menarik minat besar pelabur sejagat.

Terbitan yang dikeluarkan itu dengan memakai nama emas, merupakan terbitan bon dan sukuk (bon Islam) terbesar oleh mana-mana entiti di Asia selain Jepun pada tahun ini.

Gelaran 'emas' kepada bon dan sukuk diberikan kepada terbitan yang dibuat dalam denominasi mata wang asing.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, terbitan yang menyerlahkan lagi pasaran Malaysia sebagai lokasi pemerolehan dana oleh syarikat tempatan dan asing, amat berjaya memandangkan keadaan pasaran kewangan yang mencabar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan bon dan sukuk Petronas di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Merican.

Zeti menambah, terbitan bon dan sukuk itu memperlihatkan kewibawaan Malaysia sebagai pusat terbitan dan bukan sahaja untuk bon dan sukuk dalam mata wang Ringgit malah juga untuk terbitan dalam mata wang asing.

Zeti berkata, Malaysia kini merupakan peneraju global dalam terbitan sukuk yang mewakili 62 peratus daripada jumlah terkumpul terbitan sukuk global.

Sementara itu, Mohd. Hassan berkata, perolehan daripada penjualan bon dan sukuk itu akan digunakan untuk modal kerja serta tujuan am syarikat minyak itu.

Beliau berkata, terbitan itu diberi penarafan A- (stabil) oleh Standard & Poors Rating Services dan A1 (stabil) oleh Moody's Investors Services Inc. bagi kedua Nota (Bon Konvensional) dan Sijil (Sukuk Global).

Mohd. Hassan berkata, pameran bergerak telah diadakan selama enam hari untuk memperkenalkan bon dan sukuk meliputi 10 bandar di Asia, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat yang bermula di Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu.

Dalam pameran bergerak yang dilakukan melalui dua pasukan, sebanyak 186 pelabur global telah ditemui dengan 48 perjumpaan (satu dengan satu) dan tujuh perjumpaan secara berkumpulan.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_01.htm

No comments:

Post a Comment