Thursday, July 30, 2009

RapidKL umum kadar tambang baru bas

PETALING JAYA 30 Julai — Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) hari ini mengumumkan tambang baru bagi perkhidmatan bas mengikut zon yang akan berkuatkuasa mulai 1 Sept depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Suffian Baharuddin berkata RapidKL akan memperkenalkan struktur tambang mengikut zon bagi kesemua 165 laluan bas sekaligus menggantikan tambang pas harian yang dilaksanakan RapidKL ketika ini.

“Kadar tambang baru itu membabitkan perubahan daripada konsep pas harian kepada tambang bagi setiap perjalanan mengikut zon yang direntasi, seperti yang diamalkan pengusaha bas henti-henti lain di Lembah Klang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Suffian berkata penumpang bas Tempatan kini membayar RM1 secara pas harian, namun untuk kadar baru, RM1 hanya untuk sekali perjalanan sahaja.

“Struktur tambang baru bagi bas Bandar pula adalah RM1 untuk sekali perjalanan berbanding RM2 bagi pas harian sebelum ini,” katanya.

Katanya bagi bas Utama, penumpang akan dikenakan bayaran mengikut zon, iaitu RM1 bagi perjalanan satu zon, RM1.90 merentasi dua zon, RM2.50 merentasi tiga zon dan RM3 merentasi empat zon.

“Struktur tambang baru bagi bas Ekspres pula adalah RM3.80 untuk sekali perjalanan,” katanya.

Suffian berkata RapidKL juga akan menawarkan kadar diskaun 50 peratus melalui tiket konsesi bagi pelajar sekolah berpakaian seragam, warga emas dan golongan orang kurang upaya bagi semua perkhidmatan bas Tempatan, Utama, Bandar dan Ekspres.

Selaras dengan pelaksanaan struktur tambang bas mengikut zon itu, RapidKL memperkenalkan pas perjalanan Bulanan Bas yang boleh dinikmati penumpang dengan penjimatan sehingga 50 peratus.

“Penumpang yang kerap menggunakan perkhidmatan bas RapidKL digalakkan membeli pas bulanan yang memberikan penjimatan kos perjalanan berbanding dengan membeli tiket setiap kali menaiki bas RapidKL,” katanya.

Pas bulanan perkhidmatan bas Tempatan dijual pada harga RM40, pas bulanan bas untuk semua laluan bas Tempatan, Bandar dan Utama RM100, Pas Bulanan Integrasi untuk semua laluan bas Tempatan, Bandar dan Utama serta perkhidmatan LRT aliran Kelana Jaya dan Ampang berharga RM150.

“Bagi pas Bulanan Konsesi untuk semua laluan bas Tempatan, Utama dan Bandar pula berharga RM50,” katanya sambil menambah pas-pas bulanan tersebut akan mula dijual pada 20 Ogos.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment