Thursday, January 14, 2010

Sistem e-tukar milik mudahkan proses jual beli kereta

BUTTERWORTH 14 Jan — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dalam proses menyediakan infrastruktur sistem e-tukar milik bagi memudahkan pengusaha kereta terpakai dan orang ramai membuat semakan dalam proses jual beli kereta.

Pengarah Korporat JPJ, Zairi Mohd Ali berkata pihaknya kini dalam proses melatih tenaga kerja untuk menggunakan sistem baru tersebut yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Sebenarnya sistem ini sudah lama ada tetapi tidak pernah dikuatkuasakan, kini pihak JPJ hanya tunggu kelulusan berhubung beberapa polisi dan peruntukan kewangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis dialog bersama pengusaha kereta sewa dan kereta terpakai, di sini hari ini.

Katanya dengan penggunaan sistem itu sepenuhnya nanti, ia akan memudahkan orang awam dan pengusaha kereta sewa membuat semakan berhubung maklumat pemilik asal dan butir-butir penting dalam urusan jual beli kereta.

"Sebelum ini ada juga masalah apabila pemilik asal kenderaan telah meninggal dunia, bankrup atau disenarai hitam sedangkan surat tukar hak milik belum ditandatangani. Ini menyukarkan proses jual beli antara pengusaha dengan pembeli baru,” katanya.

Mengenai majlis dialog tersebut, Zairi berkata pertemuan dan dialog yang pertama kali diadakan antara JPJ dengan pengusaha kereta sewa dan kereta terpakai itu telah menyelesaikan banyak isu antara ketiga-tiga pihak.

`Antara isu lain yang dibangkitkan dalam dialog itu ialah mengenai permohonan untuk nombor pendaftaran perdagangan, proses transaksi JPJ dan pemeriksaan kereta berkomputer oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

— BERNAMA

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_11.htm

No comments:

Post a Comment