Monday, February 27, 2012

"bakat-bakat Malaysia menjadi perhatian dunia"

Oleh SARAH NADLIN ROHIM
bisnes@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Talent Corporation Malaysia Bhd. (TalentCorp) sepatutnya ditubuhkan pada 10 tahun lalu dalam usaha mengekalkan bakat-bakat berkualiti tinggi di negara, kata Naib Presiden Asia Pasifik, Kelly Outsourcing & Consulting Group (KellyOCG), Anthony Raja Devadoss.

Devadoss berkata, bakat-bakat Malaysia menjadi perhatian dunia kerana mereka mudah menyesuaikan diri serta mampu bertutur dalam pelbagai bahasa dan berkualiti tinggi.

''Apa yang diberikan oleh TalentCorp pada masa ini adalah terbaik dalam usaha memanggil semula bakat-bakat Malaysia berkemahiran tinggi pulang ke tanah air dan berkhidmat bersama-sama dalam membangunkan negara.

''Tarikan utama yang ditawarkan TalentCorp kepada mereka yang bekerja di luar negara adalah menjanjikan 'Malaysia baharu' kepada mereka selain bantuan dari syarikat-syarikat tempatan dalam memberikan modal untuk memanggil pulang bakat-bakat tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Devadoss, selain bergerak sendiri, agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) boleh membantu dengan membawa wakil TalentCorp semasa misi perdagangan mereka.

''Cara tersebut telah dilakukan oleh banyak negara dalam mencari bakat-bakat yang bersesuaian untuk sektor dan industri,'' jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai situasi pasaran pekerjaan semasa terutama bagi lepasan universiti, Devadoss menasihatkan mereka supaya tidak terlalu memilih atau hanya tertumpu kepada syarikat-syarikat multinasional sahaja.

''Tidak salah bagi mereka sekiranya menyertai syarikat-syarikat milik kerajaan terutama untuk latihan pengurusannya selain menyertai kerajaan kerana menawarkan peluang yang luas.

''Selain itu, mereka juga boleh menimba pengalaman bekerja di luar negara dalam memantapkan kemahiran serta pengetahuan sebelum pulang semula dengan memberikan sumbangan kepada negara.

''Pilihan lain yang boleh diteroka oleh lepasan universiti atau kolej ini adalah menyertai kerja-kerja amal dalam memberikan pengalaman bekerja sebelum mereka bertukar kerja pada masa hadapan,'' katanya.

Dalam memastikan lepasan universiti bersedia untuk menghadapi cabaran alam pekerjaan, Devadoss berkata, pihak institusi pengajian tinggi perlu lebih kreatif dalam menyediakan latihan sewajarnya kepada pelajar-pelajar mereka.

Katanya, mereka boleh melakukan kerjasama dengan pemain- pemain industri terutama dalam memenuhi permintaan pasaran supaya proses mendapatkan kerja pada masa hadapan adalah lebih mudah.

''Pihak universiti juga disaran untuk mewajibkan latihan amali kepada para pelajar bermula dari tahun pertama berbanding pada tahun ketiga atau akhir.

''Ini akan membolehkan para pelajar menerima pendedahan awal. Syarikat-syarikat juga digalakkan untuk mengambil universiti angkat dalam memastikan latihan amali dapat dibuat bermula dari tahun pertama,'' ujarnya.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

No comments:

Post a Comment