Sunday, May 24, 2009

Ahli KWSP Digesa Kemaskini Alamat Kediaman Untuk Terima Penyata Akaun

Elak Penyata Jatuh Ke Tangan Pihak Tidak Bertanggungjawab

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggesa semua ahli yang baru berdaftar untuk mengemaskini alamat surat menyurat dengan KWSP, jika tidak, ahli tidak akan menerima penyata akaun mereka.

“Setiap penyata akaun akan dipos terus ke alamat kediaman ahli atau alamat majikan mereka seperti yang terdapat di dalam rekod KWSP,” kata Nik Affendi Jaafar, Ketua Perhubungan Awam KWSP. “Bagaimanapun, KWSP amat menggalakkan ahli menggunakan alamat kediaman terkini bagi mengelakkan penyata tersebut jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini penting kerana penyata tersebut mengandungi maklumat sulit berkenaan akaun KWSP mereka.”

Begitu juga ahli KWSP yang telah bertukar alamat atau telah bertukar tempat kerja perlu memaklumkannya kepada KWSP dengan secepat mungkin.

Alamat ahli boleh dikemaskini di mana-mana cawangan KWSP atau secara online, menerusi i-Akaun iaitu akaun online peribadi yang boleh diakses melalui laman web myEPF. Bagaimanapun, ahli yang ingin menggunakan perkhidmatan online i-Akaun perlu terlebih dahulu mendaftar di cawangan KWSP atau menerusi Kios Pintar bagi memperolehi kod pengaktifan. Selain itu, ahli boleh mengemaskini alamat mereka dengan mengisi borang KWSP 3 dan menghantarnya bersama-sama dengan satu salinan kad pengenalan ke cawangan KWSP berdekatan.

“KWSP mengingatkan ahli supaya mengemaskini rekod mereka apabila perlu bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa berurusan berkaitan dengan akaun KWSP. Ahli juga perlu menyemak penyata dengan teliti untuk memastikan akaun mereka adalah teratur dan sekiranya terdapat sebarang keraguan, ahli perlu mendapatkan penjelasan daripada majikan atau KWSP,” kata Nik Affendi.

Satu lagi alternatif bagi ahli untuk menyemak penyata mereka adalah melalui Kios Pintar yang merupakan cara yang lebih mudah dan pantas untuk memperoleh penyata dengan menggunakan MyKad dan imbasan cap ibu jari. Kios Pintar terdapat di hampir setiap cawangan KWSP dan lokasi-lokasi strategik seperti Institut Jantung Negara, cawangan terpilih RHB Bank, Ambank, CIMB Bank dan Citibank.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.


Tarikh: 14 Mei 2009

6 comments: